|
KATA ALUAN PENGARAH
Selamat
datang diucapkan kepada anda yang sedang melayari laman web rasmi
Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (POLIMAS).
Laman web dibangunkan serta diselenggara oleh Unit Sistem
Teknologi Maklumat POLIMAS bertujuan memberi berbagai maklumat mengenai
POLIMAS. Laman web ini dikemaskini dari masa kesemasa bagi memuat
maklumat terkini mengenai POLIMAS.
POLIMAS merupakan politeknik ketiga yang
dibangunkan oleh Kementerian Pendidikan/Kementerian Pengajian Tinggi.
POLIMAS mula beroperasi pada tahun 1984 dengan menumpang
di Sekolah Menengah Teknik Alor Setar.
POLIMAS berpindah ke kampus tetap di Bandar Darulaman pada
tahun 1987.
Tujuan penubuhan POLIMAS adalah mengeluarkan tenaga kerja
separa profesional dalam bidang kejuruteraan, teknologi maklumat
serta perdagangan bagi mengisi keperluan sektor awam dan swasta.
Setelah beroperasi hampir 24 tahun, POLIMAS kini mempunyai
pelajar seramai lebih 6200 orang dan staf akademik serta pentadbiran
seramai hampir 500 orang.
POLIMAS menawar berbagai kursus sepenuh masa diperingkat
sijil dan diploma.
POLIMAS juga turut menawarkan beberapa kursus secara sambilan
(KSS) kepada mereka yang sedang bekerja.
Mengikut perancangan kursus diploma lanjutan dalam bidang
kejuruteraan mekatronik akan dimulakan pada tahun 2008.
Berbagai
pembangunan infrastruktur telah berlaku di POLIMAS selaras dengan
perkembangan staf dan kursus. Berbagai bangunan akademik, bengkel,
makmal, kamsis serta pentadbiran telah disiapkan dalam rancangan
ESSP. Pertambahan
bangunan baru dalam Rancangan Malaysia Ke-9 masih dalam peringkat
perancangan dan akan dimula pembinaannya dalam masa yang terdekat.
Pertambahan peralatan
pengajaran dan pembelajaran, ICT, buku serta perabot juga dalam
proses perolehan melalui peruntukan Rancangan Malaysia Ke-9.
Pembangunan staf juga tidak diabaikan selaras dengan perkembangan
teknologi serta perubahan kurikulum.
Staf berpeluang mengikuti berbagai kursus dalam dan luar
POLIMAS malah luar negara bagi mempertingkatkan lagi pengetahuan
dalam bidang tertentu. Sebagai
contoh staf peringkat pengurusan telah mengadakan lawatan sambil
belajar ke Ireland, England dan Germany, staf akademik berpeluang
mengadakan lawatan ke New Zealand.
Tiga orang pensyarah POLIMAS sedang bekursus di Germany sebagai
persediaan untuk melaksanakan kursus diploma lanjutan kejuruteraan
mekatronik. Staf akademik
juga berpeluang menjalani program sangkutan ke industri selama hampir
3 bulan. Dalam program
ini, staf akademik POLIMAS akan berada sepenuh masa di industri
tertentu mempelajari teknologi serta teknik terkini dalam bidang
pengkhususan mereka. Staf
juga berpeluang mengikuti berbagai kursus yang dikendalikan oleh
Kementerian Pengajian Tinggi, Bahagian Latihan dan Kerjaya dan Unit
Latihan dan Pendidikan Lanjutan POLIMAS.
Kurikulum kursus juga dikemaskini dari masa kesemasa dengam
mengambil kira perkembangan teknologi serta pengetahuan terkini
dalam bidang berkaitan.
Proses audit pematuhan ke atas POLIMAS telah dijalankan oleh SIRIM
QAS International bagi membolehkannya menganugerahkan sijil MS ISO
9001:2000 kepada POLIMAS. Proses audit telah berjaya dijalankan
dan POLIMAS hanya memperolehi satu NCR dan beberapa OFI. POLIMAS
juga sedang membuat berbagai persediaan untuk menjalankan proses
pengajaran dan pembelajaran modul atau matapelajaran teknikal dalam
Bahasa Inggeris mulai sesi Julai 2008 selaras dengan dasar pendidikan
negara. Staf telah didedahkan kepada pengajaran dalam Bahasa Inggeris
melalui kursus PPSMTI.
Semua perkara di atas berlaku menunjukkan POLIMAS adalah sebuah
"learning organisation" yang dinamik, berupaya berkembang
dan berdaya maju seiring dengan perkembangan dalam arena pendidikan
serta perindustrian di Malaysia. Akhir kata, saya berharap POLIMAS
akan terus maju dimasa hadapan melalui staf yang berdedikasi, berpengetahuan
serta berakhlak mulia.Staf dan pekajar bersama-sam mempunyai tanggungjawab
untuk memperkasakan POLIMAS.
Sekian, Terima Kasih.
Tn. Hj. Md. Nor Yusof
Pengarah Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah,
06000 Jitra, Kedah.
|